1.2.11

Pi Em dan barang free

Hari sabtu lepas (29 Januari 2011) PM datang bertandang lagi melawat 'fix deposit' BNnya. Yang membuat saya menyampah ialah juak-juak yang mengampu pemimpin. Bermula dari mereka yang punya 'gelar', hinggalah mereka yang hanya melata, tahap pengampuan mereka memualkan, ampu tahap gaban!. Kebetulan, antara acara beliau ialah merasmikan Pusat Kajian Lembah Maliau (Maliau Basin Studies Center) yang menjadi salah satu tanggungjawab organisasi saya. Bukan setakat PM saja yang kena jaga, tukang angkat barang, sekuriti, hinggalah pegawai-pegawai kanan beliau juga menuntut layanan VIP. Antara yang menjadi mangsa ialah saya. Rasa macam terhiris jantung saya bila melihat kereta rasmi Toyota Fortuner saya yang baru berusia tiga bulan dipandu mengalahkan kehebatan Karamjit Singh di litar rally. Si pemandu pula mereka yang ditugaskan 'mengawal' keselamatan PM. Benarlah kata-kata bekas PM Tun Mahathir, mentaliti dunia ketiga kita memang cukup menebal. Dapat barang free kita akan menganggapnya sebagai tidak berharga.

Konsep barang free ni boleh kita lihat di mana-mana, termasuklah dalam politik. Kenapa penyokong sesuatu parti yang tegar selalunya tidak mendapat sanjungan dan penghargaan? Kenapa mereka yang dulu memaki hamun parti dan kemudian menukar kiblat politiknya tiba-tiba jadi hero? Tidak percaya? Lihat Senator Ezam Mohamaed Noor..... Pak Cik dan Mak Cik penyokong tegar UMNO di Labis misalnya sanggup meredah banjir untuk membuktikan sokongan kepada UMNO, lepas mengundi, mereka terpaksa bersesak pula di pusat pemindahan banjir. Selepas pilihanraya DUN Tenang ni, adakah lagi pemimpin-pemimpin dari seluruh negara menjenguk mereka? Kenapa mereka penting masa pilihanraya saja? sebab, sokongan mereka umpama 'barang free'. Gerenti punya milik BN. Jadi, apa mau susah-susah jaga barang free? Cuba tengok kelompok yang baru mengkhianati UMNO dan balik semula menjilat ludah sendiri, mereka akan diarak, dikompangkan dan dianggap wira yang melihat kebenaran! Ada orang UMNO yang mau bersuara? Kalau mau 'kena' cubalah....

Sandakan di Pantai Timur Sabah antara kawasan yang teruk ditimpa musibah banjir. Hari ahad lepas (30 Januari) saya memandu dari Sandakan ke Kota Kinabalu. Di batu 16 Gum-Gum, saya terperangkap hampir 1 jam sebab jalanraya ditenggelami air. Komen salah seorang pemandu menarik perhatian saya.
"Inilah bahana kalau telampau laju mengejar pembangunan, yang dipentingkan bangunan baru, pembukaan kawasan baru, parit yang lebarnya satu kaki dari zaman British hingga sekarang saiznya tetap sama. 'Orang-orang kita' pula tidak pernah peduli dangan parit ni, buang sampahnya di situ, buang najis pun di situ, bila banjir begini baru bilang Majlis Perbandaran tidak buat kerja. YB pula datang untuk ambil gambar dan masuk paper saja, bila kita bangkitkan isu rakyat dibilang kita menyokong pembangkang", luahnya panjang lebar..... Kesimpulan saya, inilah mentaliti 'barang free', parit disediakan percuma, sokongan rakyat di Gum-Gum juga 'percuma', jalanraya baru lebih tinggi dari kawasan perumahan menyebabkan penduduk Taman Tinosan mendapat air banjir percuma.....

PM tentu tidak pernah meredah banjirkan? Bini PM tentu tidak pernah merasa membersih banjir lumpur yang masuk ke dapur rumah kan? ya la, bini PM khabarnya tinggal dalam bilik hotel yang harganya tidak akan sama dengan pendapatan penjual nasi kuning di pasar malam Sandakan seumur hidupnya..... siapa bayar? kerajaan.... barang free kan?...... he he he

Tiada ulasan:

Catat Ulasan