Saya rasa semua ibubapa mengakui kepentingan pendidikan dan menggalakkan anak masing-masing belajar sehingga tahap tertinggi yang boleh mereka capai. Semua mengimpikan anak masing-masing memiliki kelulusan tinggi dan menjadi individu terhormat dalam masyarakat. Benarkah begitu?
Saya teringat ulasan mantan tok guru saya masa membuat ijazah pertama dulu, Prof Datuk Dr Sidek Fadzil yang mengulas isu ini yang membuat kami tidak kering gusi. Kata beliau, "...dunia ini menampakkan ketidakadilannya dalam konteks penghargaan dan peng'ikon'an individu. Orang yang berilmu belum tentu disanjung dan menjadi ikon. Sampai habis rambut dikepala memerah otakpun, masyarakat jarang menghargainya. Tapi, bagi orang politik dan artis, biarpun mereka kadang-kadang lepasan serenti dan penjara, mereka tetap disanjung dan menjadi pujaan masyarakat". Jadi katanya, "kalau mau belajar tinggi-tinggi, janganlah mengharap jadi orang terkenal dan dihargai, kalau tidak anda akan kecewa sendiri"....
Saya tersenyum sendiri memikirkan ini. Ini belum masuk cerita individu yang ada PhD tapi bila berbual dengan kita kualiti pemikirannya hanya lebih sedikit dari lepasan SPM. Ada rakan-rakan yang membuat kesimpulan, kuasa duit boleh membeli banyak perkara, termasuklah segulung kertas yang tertera cetakan PhD. Malangnya, PhD 'segera' ini melahirkan juga individu dengan pemikiran macam mee segera seperti iklan popular satu jenama mee segera "cepat dimasak, sedap dimakan" masak 2 minit, lepas setengah jam lapar lagi....
Jadi, perlukah kita menyeksa diri memburu gelaran Dr dengan PhD? Dr Sidek Fadzil kata, "tepuk dada, tanya niat!"....
Rindu dengan dunia 'pelajar' juga membuat saya terfikir untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD atau DBA. Tapi isu niat ini masih berlegar-legar dalam otak kering saya....
Ketika berucap di hadapan pelajar dan ibubapa dan menyampaikan bantuan untuk pelajar miskin, saya juga menyentuh tentang pentingnya kita mengejar impian mencapai ilmu setinggi mungkin. Lepas berucap, saya berfikir kembali, benarkah apa yang tercurah dari mulut saya ini? Adakah pendidikan tinggi kunci kepada segala-galanya?
Ketika berucap di hadapan pelajar dan ibubapa dan menyampaikan bantuan untuk pelajar miskin, saya juga menyentuh tentang pentingnya kita mengejar impian mencapai ilmu setinggi mungkin. Lepas berucap, saya berfikir kembali, benarkah apa yang tercurah dari mulut saya ini? Adakah pendidikan tinggi kunci kepada segala-galanya?
Saya (bertali leher) di kanan YB Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Husin, menyampaikan Bantuan Khas Pelajar Miskin. (Saya yakin, hampir semua anak-anak ini lebih hafal nama artis daripada nama cendekiawan.....)
Untungnya individu yang ada bakat dan rupa, mereka tidak perlu ke perpustakaan, menghadap pensyarah dan penyelia, tidak perlu di'viva' di hadapan kelompok yang dikenali sebagai intelek, dan yang paling menyeronokkan walaupun mereka telah melakukan dosa besar di mata undang-undang dan moral, masyarakat tetap memaaf, menyanjung dan menghormati mereka....